Mandi Wajib atau Mandi Junub merupakan mandi yang diwajibkan dan disertai dengan niat kerana berlaku hadas besar seperti berjunub, haid, keluar mani, dan mati kecuali mati syahid. Sebab-sebab Perlu Mandi Wajib
1) Keluar air mani sama ada sengaja atau tidak sengaja.
2) Bersetubuh
3) Mati yang bukan mati syahid
4) Keluar darah haid
5) Keluar darah nifas.
Cara Mandi Wajib
1) Niat ketika air sampai ke tubuh.
2) Membaca “Bismillah”
3) Mencuci tangan sebanyak tiga kali.
4) Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.
5) Membersihkan (menyucikan) tangan kiri dengan sabun.
6) Berwuduk.
Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa (untuk solat) ataupun menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.
7) Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air.
Ini berdasarkan hadith dari Aisyah di dalam Sahih al-Bukhari, maksudnya:
“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya, kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya.”
Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala.
Ini berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) maksudnya:
“Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri”.
Bagi wanita yang mandi untuk haid/junub, perlu melepaskan ikatan rambut tersebut.
Ini berdasarkan hadith Aisyah (R.A) di dalam sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haid ketika menunaikan haji. Lalu Baginda SAW berkata sedemikian:
“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”.
8) Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.
Dari Aisyah (R.A): “Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci”.
(Sahih Muslim)
9) Meratakan air ke seluruh tubuh.
10) Berwudhu’ jika hendak mengerjakan solat fardhu.