Saya seperti orang lain. Ada impian untuk dicapai.Impian yang sentiasa di kenang siang dan malam.Mungkin pada orang lain impian saya kecil.Namun pada saya impian ini memang besar. Suka saya ingatkan bahawa impian saya telah dicipta selama 4 dekad atau tepatnya sejak 40 tahun dahulu:
1. Ketika umur 10 tahun dan ke atas
Saya berimpian untuk menempatkan diri di sekolah berasrama penuh.Pada saya sekolah berasrama penuh dengan cerita kejayaan. Ada jaminan masa depan yang gilang gemilang.Sayangnya impian untuk ke sekolah prestij tersebut belum tercapai.Keputusan peperiksaan awam ketika tahun 6 kurang memberangsangkan.
2. Ketika umur 20 tahun dan ke atas
Masih saya ingat saya sudah menceburi alam pekerjaan ketika ini.Saya bekerja di sebuah syarikat antarabangsa dengan jawatan biasa.Maka saya terus berimpian untuk mendapat pendidikan yang lebih tinggi.Ketika itu saya cuma lulusan tingkatan 6.Saya mahu mendapat diploma dan seterusnya
ijazah.Nampaknya perancangan saya belum menjadi.Dengan kerjaya biasa ditambah pula cabaran kewangan saya hanya mampu memperolehi peringkat diploma sahaja di kolej swasta.
3. Ketika umur 30 tahun dan ke atas
Nampaknya saya berada dalam situasi dilema ketika ini.Saya sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen. Ada kerjaya dengan pendapatan yang memuaskan.Namun jiwa saya gelisah kerana bekerja dalam bidang bukan diminati. Hari-hari yang saya lalui kosong.Saya cuma gembira ketika hari gaji dan hari cuti sahaja.Saya mula berimpian untuk menceburi perniagaan. Impian untuk menjadi seseorang yang Finacial Freedom.Tak nak bekerja yang susah nak cuti,susah nak bangun pagi dan pelbagai lagi istilah susah. Akhirnya saya beranikan diri untuk berhenti bekerja dan menjadi usahawan sepenuh masa.Saya berbekal sejumlah wang simpanan untuk menampung hidup dan modal perniagaan.
Setelah berjuang selama 1 tahun sebagai usahawan sepenuh masa, saya tidak berjaya mencapai sasaran.Wang simpanan habis. Beberapa aset yang dibeli ketika bekerja juga terlepas tangan.Selama 3 tahun seterusnya saya cuba kembali bekerja apa sahaja (halal). Gaji memang jauh dari mencukupi. Keluarga berantakan akibat krisis kewangan. Zaman keperitan ini masih saya lalui ketika ini. Pada ketika orang seusia saya sudah stabil kewangan saya bermula dari bawah semula.Saya bekerja bersama adik-adik lepasan sekolah dan ketua yang berusia bawah 30-an.Saya paling senior dalam kumpulan.Pendapatan saya sama dengan orang yang baru menceburi pekerjaan. Mereka tiada tanggungan dan saya ada tanggungan. Ada tanggungjawab dan ada misi yang mesti untuk dicapai.
4.Ketika umur 40 tahun dan keatas
Sebetulnya ketika entri ini ditulis saya belum lagi mencecah umur 40 tahun. Kata orang putih hidup bermula dengan umur 40 tahun. Betul atau tak betul ada saya kisah. Saya masih mengekalkan impian untuk menjadi orang yang bebas kewangan. Paling baik ketika melepasi usia begini. Jadi kalau nak mencapai impian begini saya tekadkan diri untuk menjadi seorang blogger. Pendapatan dari blogger nanti akan saya gunakan untuk tubuhkan satu syarikat berasaskan perkhidmatan.
Pendapatan dari pekerjaan sekarang digunakan untuk menampung hidup dan kos perbelanjaan kerjaya sebagai blogger. Lagi cepat saya dapat pendapatan maka lagi cepat pula saya mencapai impian. Biarpun kejayaan sebenarnya memang mengambil masa.Kalau boleh jangan biarkan saya menunggu 40 tahun lagi. Jika panjang umur saya akan berusia 80 tahun.
Kesimpulan dari cerita ini
Impian untuk berjaya dalam hidup saya tidak pernah padam. Jika diukur dari faktor umur ternyata saya lambat panas.Namun saya percaya usia hanyalah nombor yang mengingatkan kita bahawa setiap detik yang berlalu mendekatkan kita ke alam yang abadi. Bersedialah untuk menerima kenyataan hidup dan tingkatkan iman kepada Allah SWT.