Beberapa hari lagi kita akan bertemu bulan mulia iaitu bulan Ramadhan. Bulan yang mempunyai pelbagai keistimewaan dan kelebihannya yang tersendiri. Dalam bulan Ramadhan juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam iaitu Malam Lailatul Qadar. Pada bulan Ramadhan ini umat Islam diwajibkan berpuasa dan disunatkan mengerjakan solat Terawih pada malamnya. Bulan Ramadhan juga merupakan bulan di mana Al-Quran diturunkan.
Beberapa hadis yang menerangkan kebaikan, keistimewaan dan kelebihan bulan Ramdhan ini ialah:
Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga“.
(Hadis Sahih – Riwayat Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)“.
(Hadis Sahih – Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya:
“Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka – daripada memasukinya”. Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan).”
(Riwayat Tirmizi dan Nasa’i)
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
” Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”
(Riwayat At-Tirmidzi)
Dari Salman r.a, katanya: Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami (dalam salah satu khutbahnya) pada hari yang akhir dari bulan Syaaban sabdanya :
“Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi (bulan Ramadhan) yang besar kemuliaannya, lagi berkat. Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (malam Lailatul Qadar).
“Bulan yang puasanya dijadikan Allah satu perintah yang diwajibkan dan (selain dari itu) disunatkan mengerjakan sembahyang tarawih pada malam harinya“.
“Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan – samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu – samalah seperti ia menunaikan tujuh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain”.
“Bulan Ramadhan juga ialah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu pahalanya ialah syurga; ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan dan ia juga bulan yang padanya ditambahkan rezeki orang-orang yang beriman”.
“Barangsiapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun”.
“Sababat-sababat Baginda berkata: “Ya Rasulullah, kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa. ” Lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan: “Allah Taala akan memberikan pahala yang tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji buah tamar (kurma) atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air. “Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat, pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka”.
“Barangsiapa meringankan beban kerja khadamnya (orang gajinya) dalam bulan Ramadhan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari neraka”.
“Banyakkanlah kamu mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadhan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat-sangat perlukan.
Ada pun dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu itu ialah:
Pertama – mengucap:
Kedua – banyakkan beristigfar dengan menyebut :
Ada pun dua perkara lagi yang sangat-sangat kamu perlukan itu pula ialah:
Pertama (banyakkanlah) memohon kepada Allah Taala supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga, serta berlindung kepadanya dari azab neraka – dengan menyebut:
“Dan selain itu, (sabda Baginda lagi): Barangsiapa memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa), Allah Taala akan memberi minum kepadanya dari kolam-Ku (kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja (yang menjadikan dia) tidak akan merasa dahaga (selama-lamanya) sehingga ia masuk ke dalam syurga.
(Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).
sumber hadis : Islamgrid.gov.my,
Antara amalan-amalan yang boleh diamalkan pada bulan Ramadhan ialah:
1) Membaca dan bertadarus Al-Quran.
2) Menunaikan solat Tarawih.
3) Memberi sedekah.
4) Banyakkan berdoa dan memohon keampunan daripada Allah SWT.
5) Menjamu orang berpuasa berbuka puasa.
Banyakkanlah melakukan amalan yang baik kerana pada bulan Ramadhan ini amalan kita akan dilipat gandakan. Di samping itu, bulan Ramadhan ini juga dapat membantu sesiapa sahaja yang ingin mengurangkan berat badan dan mendapatkan kesihatan yang lebih baik. Semoga Ramadhan kita pada tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.