Semua sedia maklum bahawa tidur merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, tidak semua mendapat tidur yang berkualiti dan mencukupi. Kesibukan dengan kerja seharian kadang kala membawa kepada kurangnya tidur pada waktu malam. Ada juga yang akan berkerja lebih masa kerana tuntutan kerja.
Tidur yang tidak mencukupi sebenarnya memberi kesan negatif kepada diri kita. Tidur yang kurang selalunya mempunyai kaitan dengan masalah tempat kerja, masalah dengan perhubungan, perubatan dan keadaan mental. Semua ini akan membawa kepada kualiti hidup yang semakin menurun (tidak baik). Mendapatkan tidur yang berkualiti amat penting untuk menjamin kualiti hidup yang lebih baik. Lebih bermaya untuk bekerja dan lebih bersemangat dalam apa jua yang dilakukan.
Tips Mendapatkan Tidur Berkualiti
1) Elakkan Minum Kopi atau Minuman Berkafein Sebelum Tidur
Kafein akan membuatkan kita tidak mengantuk. Kebiasaannya, kita boleh menjumpai kafein dalam minuman seperti kopi, teh, minum ringan seperti pepsi, dan coklat. Bagi mereka yang tidak dapat mengelak daripada minum minuman berkafein ini, minumlah seawal mungkin sebelum waktu tidur.
2) Jangan Menonton TV di Katil
Katil sebenarnya untuk badan kita rehat dan tidur. Walau bagaimanapun, sekiranya katil dijadikan sebagai tempat kerja, menonton tv, dan bermain permainan komputer. Ia akan membawa kepada kekeliruan kepada badan tentang apa yang kita mahu lakukan sekiranya baring diatas katil.
3) Pastikan Katil Selesa
Pastikan katil kita selesa untuk tidur. Tiada barang atau baju yang menghalang keselesaan kita untuk tidur. Alihkan sumber-sumber yang cerah daripada katil kita. Contohnya seperti lampu yang terang. Cahaya yang terang berdekatan dengan katil sebenarnya akan merosakkan Melatonin. Bahan kimia yang membantu mengawal kitaran tidur-sedar(bangun).
4) Senaman
Aktiviti fizikal pada waktu siang membantu kita untuk mudah tidur pada waktu malam. Apabila badan sudah penat, dengan mudahnya kita akan tertidur. Senaman juga perlu bersesuaian. Senaman juga secara tidak langsung mampu meningkatkan kadar metabolisme badan kita.
5) Rangka Waktu Tidur
Cuba kekal dengan satu waktu tidur sama. Tidur dan bangun pada waktu sama setiap hari. Jadikannya sebagai rutin harian.